Hebatnya Sahur


Waktu berbuka puasa selalunya lebih meriah jika dibandingkan dengan waktu sahur. Ini kerana waktu berbuka kita semua lebih bersedia disebabkan sepanjang hari menahan lapar dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tetapi Allah SWT meletakkan bahawa sahur juga perlu diraikan. Bagi mereka yang tidak melihat kelebihan-kelebihan sahur, sudah pasti tidak akan memaksa diri untuk bangun pada waktu pagi.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).

"Sesungguhnya Allah dan alaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur." (Hadis riwayat At-Tabrani).

Jelas sekali bahawa sahur diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Bukan sekadar bangun untuk makan semata-mata menahan lapar dan dahagauntuk keesokkan harinya. Tetapi Allah SWT memberikan keberkatan dengan erti kata Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk menjaga puasa kita pada keesokkan harinya.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menyuruh kita supaya menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur sehinggakan Zaid bin Tsabit menceritakan bahawa beliau bersama Rasulullah s.a.w bersahur bersama-sama dan kemudian menunaikan solat Subuh.

Mengapa sahur sunat diakhirkan? Melewatkan sahur umpama kita mengambail sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari ChicagoTribune pada 24 September 2001.

0 Responses