Hebatnya Sahur


Waktu berbuka puasa selalunya lebih meriah jika dibandingkan dengan waktu sahur. Ini kerana waktu berbuka kita semua lebih bersedia disebabkan sepanjang hari menahan lapar dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tetapi Allah SWT meletakkan bahawa sahur juga perlu diraikan. Bagi mereka yang tidak melihat kelebihan-kelebihan sahur, sudah pasti tidak akan memaksa diri untuk bangun pada waktu pagi.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).

"Sesungguhnya Allah dan alaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur." (Hadis riwayat At-Tabrani).

Jelas sekali bahawa sahur diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Bukan sekadar bangun untuk makan semata-mata menahan lapar dan dahagauntuk keesokkan harinya. Tetapi Allah SWT memberikan keberkatan dengan erti kata Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk menjaga puasa kita pada keesokkan harinya.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menyuruh kita supaya menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur sehinggakan Zaid bin Tsabit menceritakan bahawa beliau bersama Rasulullah s.a.w bersahur bersama-sama dan kemudian menunaikan solat Subuh.

Mengapa sahur sunat diakhirkan? Melewatkan sahur umpama kita mengambail sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari ChicagoTribune pada 24 September 2001.

Ahlan Ya Ramadhan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hari demi hari yang berlalu sememangnya terasa begitu pantas. Kini Ramadhan kembali mendekati diri kita. Seharusnya sedikit sebanyak rasa syukur bertaut di hati. Kerana Allah SWT masih lagi memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Walaupun kita sebenarnya masih kabur adakah kita dapat memenuhi tuntutan ibadah di bulan mulia ini.

Ramadhan sebagai bulan yang kaya dengan rahmat, pengampunan dan pelepasan api neraka kepada hamba Allah yang berlumba-lumba kepada kebaikan. Untuk mendapatkan tiga perkara ini sudah tentu perlu menggandakan diri dengan takwa. Takwa yang disebut oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Ramadhan juga adalah bonus kepada umat Islam seluruhnya. Keuntungan ini dianugerahkan oleh Allah memandangkan umat Rasulullah s.a.w yang terlalu lemah dalam melakukan ibadah. Akidah, ibadah dan akhlak yang banyak terdedah kepada kesalahan dan kesilapan sudah pasti keberkatan bulan Ramadhan ini akan memberikan semangat kepada umat Islam terus melakukan kebaikan dan memohon keampunan daripada Allah.

Melakukan kebaikan perlu dilatih dan dipupuk untuk hati terus berada di dalam landasan yang betul. Ramadhan adalah bulan latihan untuk memupuk hati agar tunduk kepada Allah. Ramadhan juga akan menentukan iltizam dan istiqamahnya melakukan kebaikan terus berada di dalam hati.

Kemuliaan Ramadhan digandakan dengan penurunan Al-Quran di dalamnya. Bermakna bulan ini adalah bulan untuk menghidupkan Al-Quran dengan pembacaan dan penghayatan. Di akhir zaman ini umat Muhammad terlalu kedekut meluangkan masa untuk kalam azali ini.

"Ya Allah berkatilah kami di bulan Ramadhan ini." Amin.

Mengapa Komen Begitu Berharga Kepada Blogger

Mesti ramai pembaca blog di luar sana yang masih tertanya-tanya, mengapa perlu menulis komen di posting? Mengapa perlu respon kepada posting-posting di blog? Wahai pembaca yang budiman sebenarnya pertanyaan ini terlalu banyak jawapan yang boleh diberikan. Jadi di sini saya senaraikan mengapa pentingnya komen anda di blog kami?

  • Komen anda adalah satu-satunya tanda bahawa anda mengambil berat tentang apa yang ditulis oleh blogger. Dari komen anda jugalah blogger dapat mengetahui tentang kualiti postingnya baik, menarik ataupun tidak.
  • Komen anda umpama satu penghargaan kepada seorang blogger. Walaupun mungkin sedikit yang anda tulis tapi kerana komen yang sedikit itulah yang akan terus memberikan semangat kepada blogger untuk terus mencari idea menulis posting-posting yang bagus.
  • Komen anda juga akan membantu menaikkan ranking blog secara tidak langsung.
  • Siapalah blogger tanpa komen anda!
  • Komen yang baik berkemungkinan besar akan menjadikan topik tersebut popular di internet dan menjadi rujukan kepada orang lain.
  • Komen anda juga berupaya mempengaruhi orang lain untuk sama-sama memberikan komen kepada posting tersebut.

Jadi selepas anda membaca artikel ini, janganlah hanya membaca posting di blog yang anda singgah. Berilah sedikit komen dan respon sebagai tanda perihatin dari anda kepada blogger yang bersusah-payah menghasilkan posting yang baik untuk rujukan anda juga kan! :)